Selasa, 18 Oktober 2011
Karena SeGelas Susu
Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan pemandangan
indah musim bunga di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar,
unggas dan serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang
cantik dihiasi kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.
Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik menyebabkan pemuda
yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan
pengembaraannya masih panjang lagi.
Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah ladang
di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak perempuan membuka
pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.
Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak perempuan itu
dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu bergegas ke dapur dan
sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.
Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu kerana dia tahu pemuda
tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan
pengembaraannya.
"Berapa harga susu ini?" tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu
tersebut.
Jawab budak perempuan itu, "Oh, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah
telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga
kebaikan yang kita lakukan"
Pengembara muda itu tersentuh hati dengan jawapan tersebut. "Kalau begitu,
saya hanya dapat mengucapkan terima kasih sahaja,"kata pemuda tersebut,
disambut oleh budak perempuan itu dengan senyuman dan anggukan.
Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda
yang berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya menerima sebarang
bayaran, walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain dalam fikiran
pemuda tersebut.
Tahun berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an, diserang penyakit
kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa
oleh doktor pakar dan seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor
dipanggil.
Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu segera
terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak
bukan, inilah budak perempuan yang pernah memberinya segelas susu dan
kemudiannya berkata," Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan
meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan,"
Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan segala yang terdaya
untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad untuk beberapa
lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya diubati.
Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada doktor
itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi sehelai. Dia
memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut, kemudian menulis
sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia menurunkan tandatangannya.
Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu sebuah rumah kecil di pinggir
ladang.
Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian demi helaian
dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu membayarnya.
Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum tentu dia dapat
membayar bil yang dikenakan itu.
Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke helaian terakhir
apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya. Tulisan itu berbunyi…
—————————————
"Sudah DiBayar Dengan SeGelas Susu."
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar